Sudah 2 bulan kita tidak berjumpa. Hari ini, hari Jumaat 16hb April 2010 maka terhasillah entri baru dalam blog ini. Terhasilnya entri yang terbaru ini adalah secara umumnya kerana hari ini hari Jumaat, hari yang secara tidak rasminya dinobatkan sebagai hari paling tidak efektif dalam seminggu bekerja.
Hal ini kerana esok adalah hari Sabtu. Secara umumnya, semua orang bercuti dihari Sabtu. Namun ada pengecualian terhadap keadaan ini; dimana ada yang bekerja di hari Sabtu. Contohnya, buruh Bangladesh di tapak pembinaan.
Hari Jumaat juga ada solat Jumaat. Bermula pukul 1, sehinggalah pukul 2.30pm. Belum kira nak makan tengahari lagi. Memang lama masa diambil, maklumlah banyak ibadat-ibadat sunat yang dilakukan seperti tidur selepas Zuhur. Bukan saja-saja ambil kesempatan ya masuk ofis semula jam 3 petang. haha.
Tambahan pula dengan cuaca yang panas. If you don't take it slow on days such as these, there is a high possibility that you could fall sick. So take a breather, take it easy on yourself, have a coconut juice.
Umum mengetahui bahawa air kelapa memang lazat dinikmati di cuaca yang panas. Sepupu saya kata, sebiji kelapa adalah menyamai keperluan vitamin kita untuk sehari. Sebab itulah saya tak makan buah. hehe.
Namun banyak lagi kegunaan kelapa selain daripada menggunakan buahnya untuk dibuat air. Ayuh sama-sama kita fikirkan apa lagi kegunaan kelapa ya. Kita mulakan dengan akar pokok kelapa. Akar pokok kelapa.......
Ok sebenarnya saya tak dapat fikirkan satu pun kegunaan akar pokok kelapa selain daripada menyerap air untuk pokok kelapa. Saya pernah ingat akar pokok kelapa banyak semut gatal atau kerengga, tapi itu bahaya bukannya kegunaan. Tak apalah, kita terus ke bahagian kelapa yang seterusnya.
Batang pokok kelapa biasanya boleh digunakan untuk membuat struktur bangunan. Boleh dibuat titi, tiang, dinding, pintu dan sebagainya. Buat atap sahaja tak boleh, yang lain semuanya boleh. Boleh juga dijadikan papan iklan. Buat apa sewa billboard? Buat apa tempah bunting? Pakukan sahaja papan tanda perniagaan urut tradisional anda di batang pokok kelapa.
Ya, bahagian paling menarik pada pokok kelapa adalah buahnya. Macam manusia juga lah. Eh?
Air kelapa seperti yang telah disebutkan tadi, memang epic. Bukan setakat menyegarkan, malahan dikatakan air kelapa juga boleh menurunkan suhu badan. Tambahan pula diminum selepas makan ayam kampung di Bandar Bukit Puchong (promote). Jom la kawan-kawan, best wor ayam kampung tersebut.
Buah kelapa juga boleh dibuat santan. Walaupun semuanya kolestrol, namun kesedapan makanan bersantan mengatasi segalanya. Alah jaga-jaga sangat bukannya boleh jadi immortal pun, mati juga satu hari nanti. Tapi kalau jadi immortal mesti seronok hari-hari boleh makan nasik lemak tanpa perlu bimbang kolestrol.

Terlalu banyak makanan yang berasaskan kelapa sehingga nak senaraikan pun tak guna, buang masa sahaja lebih baik aku pergi menonton Lisa Surihani dalam cerita Semerah Cinta Stilleto (jom sapa2 nak pegi jom? hehe). Kuih muih sahaja sudah cukup satu ring binder agaknya. Kuih kaswi, kuih koci, cucur badak semuanya ada inti kelapa bukan? Masak lemak cili api kegemaran anda juga pakai santan bukan? Apa? tak tahu? cis kau hanya tahu makan, tidak tahu ramuan makanan anda rupanya.
Tempurung kelapa pula kebanyakannya boleh dibuat kraftangan. Pelbagai produk boleh dihasilkan dengan tempurung kelapa. Ada yang buat jadi tabung, ada yang buat jadi senduk, dan tak lupa juga ada yang buat jadi bra. Teka teki spontan : buah apa tempurung di luar? ha ha haaa
Sabut kelapa boleh dibuat berus sabut. Eh yang ini betul ke? saya hentam sahaja seperti jawapan chuunin exam minggu lalu. Selain daripada berus, sekiranya sabut kelapa dibakar, percikan apinya boleh dibuat penghibur hati sementara menunggu stok mercun yang lebih seronok.
Ok pelepah kelapa pula. Pertama sekali terlintas di fikiran pastilah penyapu lidi bukan? Saya ingat dulu lidi penyapu itu dikeluarkan dan dijadikan pedang. Kemudian bertarung ala-ala fencing lah kononnya. Kemudian lama kelamaan habis lidi penyapu tersebut, hehehe.
Daun kelapa pula pastilah boleh dibuat sarung ketupat. Saya tidak tahu menganyam ketupat. Namun saya teringat semasa di negara Z (bukan nama sebenar) ada pertandingan menganyam ketupat. Ada yang kecil sangat kalau makan pun keluar jadi kentut sahaja. Ada yang mantap, dan ada juga yang tak jadi langsung, buat jadi benda lain pula. haih.
Saya rasa cukup sampai disini sahaja karangan saya tentang kelapa. Kesimpulannya, pokok kelapa memang mempunyai banyak kegunaan. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab sewajarnya mengambil inisiatif bagi memajukan industri perkelapaan di negara ini (pengaruh membuat karangan minggu lalu).
Sekian terima kasih.

0 comments:
Post a Comment